Kota Kinabalu: Dua individu termasuk seorang wanita diberkas polis selepas melakukan penipuan dengan menjual projek pembinaan serta penjualan lot banglo dengan harga murah dalam serbuan di sebuah premis di Karamunsing Capital, di sini, Khamis lalu.
Kedua-dua suspek berusia 47 dan 48 tahun diberkas polis pada jam 12.55 tengah hari bersangkut 17 laporan polis membabitkan kerugian lebih RM1.5 juta.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, hasil serbuan itu, polis juga merampas tiga set komputer, buku akaun bank, telefon bimbit, serta dokumen yang disyaki digunakan dalam kegiatan berkenaan.
"Mondus operandi suspek terbabit adalah membuat iklan di akhbar-akhbar tempatan di negeri ini mengenai projek pembinaan serta penjualan lot-lot banglo yang akan dilaksanakan di Sabah dengan harga yang murah.
"Setakat ini, seramai 76 pelanggan membuat pembayaran deposit dengan nilai kerugian lebih RM1.5 juta," katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Eksesais Pengambilan Khas Jawatan Konstabel Lelaki dan Wanita Cina, di sini, sebentar tadi.
Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DuaindividutipuRM1_5jutadiberkas/Article/index_html
KUALA LUMPUR, 25 Dis Sindiket pelacuran didapati memasukkan gambar wanita tidak berdosa dalam laman Facebook bagi menarik pelanggan, kata Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.
Beliau berkata sehingga kini pihaknya menerima lima laporan daripada mangsa terbabit. Kes terbaharu membabitkan seorang pegawai pentadbiran di sebuah syarikat swasta yang terpaksa menanggung malu setelah gambar wajahnya dipaparkan dalam Facebook sebagai gadis yang menawarkan perkhidmatan seks, sejak empat bulan lalu, katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.
Wanita berusia 20 tahun tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, gambarnya telah digunakan dalam dua akaun Facebook iaitu 'Jessy Serikembangan' dan 'Lisa Carino' kononnya beliau menawarkan khidmat seks dengan caj RM200 untuk sekali perkhidmatan dan RM500 untuk tempoh semalaman.
Tan dari Shah Alam berkata beliau mendapati wajahnya telah dipotong dan disambungkan kepada gambar badan wanita lain yang berpakaian seksi dan berbikini.
"Saya mendapat tahu apabila rakan saya memberitahu wajah saya disiarkan di laman itu. Saudara dan rakan saya menganggap saya terpaksa menjual tubuh saya kerana masalah kewangan. Ini amat memalukan saya," katanya pada sidang akhbar tersebut.
"Tan berkata sehingga kini wajahnya masih terpampang di laman sosial berkenaan"
Beliau berkata beliau telah menyamar sebagai pelanggan untuk mendapat maklumat lanjut mengenai perkara itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sindiket itu telah meminta beliau terlebih dahulu memasukkan RM300 ke dalam akaun sebuah bank milik individu lain.
Tan berkata beliau telah membuat laporan polis Ogos lepas dan kepada pengurusan Facebook yang sehingga kini belum mendapat sebarang tindak balas.- Bernama



