NAIB Ketua Wanita UMNO Datuk Kamalia Ibrahim secara automatik dipecat dari UMNO hari ini bila masuk tanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar,Perak.

Beliau akan lawan calon BN Datuk Wan Muhammad Khairil dan calon PAS Khalil Idham Lim.

Menerusi laporan Agendadaily, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin kata dalam sidang akhbar di Pagoh tengahari Sabtu beliau sangat kecewa dengan perbuatan Kamalia kerana beliau memegang jawatan nombor dua dalam pergerakan Wanita UMNO.

Katanya Kamalia melakukan perbuatan yang bertentantang dengan peraturan parti dan semangat perjuangan parti.

Menurut beliau dalam keadaan ini Kamalia secara automatik terpecat dari parti.

“Parti tidak mahu pembelot apatah lagi dalam pilihanraya yang sangat penting,” tegasnya.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menjelaskan Kamalia telah ditawarkan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan dalam kawasan Parlimen Kuala Kangsar bagaimanapun beliau telah menolaknya.

Tawaran itu disertakan dengan tawaran lantikan sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak jika BN menang di negeri itu.

Namun Kamalia dilaporkan menolak tawaran itu dengan alasan mahu bertanding di kerusi Parlimen yang dikosongkan oleh bekas Ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz di Kuala Kangsar. - Sumber
Proses Penamaan Calon Ditutup 10 Pagi
KUALA LUMPUR – Proses penamaan calon di 222 pusat di seluruh negara tamat pada pukul 10 pagi Sabtu setelah menyaksikan penyerahan borang pencalonan bagi 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Proses yang berlangsung selama sejam sejak dibuka pada pukul 9 pagi ini dapat diselesaikan lebih awal berikutan buat pertama kalinya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) tidak ada lagi tempoh bantahan selama sejam dan penarikan balik pencalonan.

Laporan awal menunjukkan bahawa proses penyerahan borang pencalonan di seluruh negara berlangsung dalam aman, tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan penamaan calon termasuk sama ada terdapat pertandingan atau tidak bagi mana-mana kerusi Parlimen dan DUN dapat diketahui menjelang 12 tengah hari ini.

SPR yang akan mengadakan sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat SPR di Putrajaya akan turut mengeluarkan statistik termasuk jumlah calon dan parti yang bertanding, calon bebas, jumlah calon wanita dan lelaki, calon termuda dan calon tertua. Sidang berita itu akan diadakan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyerahkan kertas pencalonan beliau di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Pekan pada pukul 9.08 pagi bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya sejak tahun 1976.

Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengemukakan kertas pencalonannya bagi kerusi Parlimen Pagoh yang disandangnya sejak tahun 1978 di Kompleks Sukan Pagoh pada pukul 9.30 pagi.

SPR menetapkan 30 April sebagai tarikh pengundian awal dan 5 Mei pengundian biasa. Calon mempunyai tempoh 15 hari untuk berkempen, sebaik sahaja proses penamaan calon selesai.

Seramai 13,268,002 orang layak mengundi pada PRU13 dengan 275,341 orang merupakan pengundi awal dan 12,992,661 orang pengundi biasa. - BERNAMA