KOTA KINABALU 24 April - Kira-kira 600 buah sekolah menengah dan rendah di negeri yang dibina sejak tahun 1980-an telah uzur dan amat memerlukan bantuan kewangan segera untuk dinaik taraf dan dibina bangunan baharu.
Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Jame Alip berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan sebanyak RM500 juta daripada kerajaan Pusat bagi memenuhi keperluan berkenaan dan dana kewangan itu dijangka diperolehi dalam masa terdekat.
Sebaik sahaja kita memperolehinya, bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah tersebut akan kita salurkan. Keseluruhannya terdapat 1,071 buah sekolah menengah dan rendah di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, di Dewan Sa'adah Wisma MUIS di sini hari ini.
Tambah Jame, pihaknya juga telah menerima surat daripada Kementerian Pendidikan yang membolehkan Pengarah Pendidikan negeri untuk meluluskan permohonan dana kewangan kepada sekolah-sekolah di negeri ini.
Dalam perkembangan berasingan beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada semua pengetua dan guru besar di negeri ini supaya mengenal pasti kawasan-kawasan sekitar sekolah mereka yang boleh mengundang bahaya kepada pelajar.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku yang dikhuatiri boleh membahayakan nyawa pelajar termasuk para guru.
Dalam kejadian 21 April lalu, seorang murid Sekolah Kebangsaan Sacred Heart di sini, Huguan Isaac, 10, berhadapan detik cemas apabila pipinya tertusuk besi sepanjang satu meter.
Ditanya mengenai pembiayaan perubatan murid berkenaan, Jame berkata, mereka ditanggung sepenuhnya oleh pihak insurans.
Semua pelajar di negeri ini iaitu seramai 500,000 orang dilindungi oleh insurans Takaful. Namun kita sedia membantu keluarga mangsa sekiranya mereka memerlukan bantuan lain," katanya.
Sumber Se: http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20140425/wb_02/600-sekolah-uzur-di-Sabah#ixzz2zw8rpBaD
KOTA KINABALU: Seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera parah selepas tertembak oleh rakan setugasnya ketika sedang sibuk membersihkan senjata dalam insiden di Balai Polis Luyang, di sini kelmarin.
Kejadian pada jam 7.12 malam itu, mangsa yang berusia 25 tahun mengalami kecederaan serius pada bahagian dada, namun dilaporkan stabil selepas mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) II, di sini.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa bersama rakan setugasnya, berpangkat koperal sedang bersiap sedia untuk melaporkan diri bagi bertugas di Pondok Polis Kawasan (PPK) HQE II.
Bagaimanapun, ketika rakan mangsa sedang mengosongkan pistol, tidak semena-mena terlepas tembakan yang mengenai mangsa.
Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika ditemui kelmarin mengesahkan kejadian itu.
Menurut beliau, ketika kedua anggota itu sedang bersiap melaporkan diri untuk bertugas ke PPK HQE II dan mengambil pistol jenis Revolver .38 di dalam stor senjata di Balai Polis Luyang.
“Berdasarkan maklumat awal, ketika rakan mangsa sedang mengosongkan pistol terbabit, tiba-tiba satu das tembakan terlepas dan mengenai badan mangsa.
“Mangsa yang berasal dari Sarawak itu kini dilaporkan stabil dan hasil pemeriksaan pihak hospital menjelaskan peluru itu tidak mengenai organ sensitif,” katanya sambil menambah, pembedahan akan dijalankan segera bagi mengeluarkan peluru yang masih berada di dalam badan mangsa.
Mengulas lanjut, polis masih melakukan siasatan terperinci bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian itu terjadi.
“Rakan setugas mangsa kini ditahan bagi membantu siasatan polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
SUMBER : http://www.theborneopost.com/2014/04/24/konstabel-parah-tertembak-rakan/#ixzz2zkuCGVlm

