DAYANG SEMAKIN GARANG

Unknown | 15:33 | 0 comments

“Tahniah!  Satu usaha yang amat baik dan lagu-lagu mencapai standard antarabangsa.  Saya percaya yang Dayang Noraini boleh pergi jauh dalam pelbagai genre dan dia amat berpotensi.  Tahniah sekali lagi kepada Dayang Noraini”.  Itulah kata-kata hikmat serta amanat dari Pengarah Muzik RTM, Dato Mokhzani Ismail yang juga merupakan Pengerusi Panel penilai lagu-lagu untuk stesen-stesen radio seluruh negara. Kata-kata semangat yang disampaikan oleh beliau kepada Dayang Noraini ini adalah sebagai salah satu komen beliau apabila pihak pengurusan Dayang menghantar EP Inggeris-Melayu terbarunya kepada Dato mokhzani bagi tujuan penilaian sebagai salah satu syarat penyiaran lagu-lagu baru di negara ini.

Juara Sinaran Pasport Kegemilangan TV3 musim ke 6, Dayang Noraini kembali mewarnai persada seni tanahair dua tahun lepas (2010) dengan menerbitkan album solonya yang pertama.  Single pertama dari album ini yang berjudul Kelawar O’ Kelawar yang dirakamkan di Newcastle, UK, telah membawa beberapa kejayaan kepada Dayang Noraini seperti juara persembahan terbaik CLAS (Carta Lagu Artis Sabah) 2011, pencalonan Muzik Muzik TV3 dan jemputan serta liputan dari program dan media-media utama negara seperti The Breakfast Show (NTV7), Malaysia Hari Ini (TV3), Melodi (TV3) dan rancangan Galaksi (TV9).

Single kedua dari album tersebut yang juga merupakan ciptaan komposer Rafiqa Roslee, yang berjudul Kau Tak Akan Pernah Tahu juga mendapat tempat di stesen-stesen radio seluruh negara, terutamanya di negeri Sabah serta di negara Brunei Darussalam.  Populariti lagu ini bukan sahaja membuatkan Dayang Noraini mendapat jemputan mengadakan persembahan-persembahan di negara tersebut, malahan masih lagi tersenarai di dalam Carta Lagu Paling Menang (Sabah fm) dan Carta Lagu Borneo (ERA fm KK) hingga ke hari ini.

Tidak mahu berdiam diri dan berpuas hati dengan apa yang tercapai setakat itu, pada tahun lepas (2011), Dayang Noraini (DN) telah bekerjasama dengan Ebi Kornelis (AF5) dan seorang artis ‘rap’ dari negara Brunei yang dikenali dengan nama Noty Boy bagi menghasilkan dan menerbitkan single lagu Hari Raya yang bertajuk Joget Di Pagi Raya.  Lagu ciptaan bersama DN bersama pengarah muziknya, Rafiqa Roslee (Roslee Haji Wahid) juga mendapat tempat dihati peminat dan berkumandang di stesen-stesen radio seluruh negara dan Brunei Darussalam pada bulan Ramadan serta Syawal tahun lepas.

Kini, artis kecil molek kelahiran negeri Sabah ini maju setapak lagi dengan menerbitkan sebuah EP (album mini) berjudul @dayangnoraini2,  di dalam Bahasa Inggeris dan  Melayu yang diterbitkan sepenuhnya oleh pengarah muziknya, saudara Roslee Haji Wahid yang juga merupakan seorang pensyarah muzik di UMS (Universiti Malaysia Sabah).  Ketika ditanya kalau-kalau beliau tidak lagi mahu menghasilkan lagu-lagu berbahasa Melayu, DN menjelaskan bahawa kedua-dua buah lagu Inggeris di dalam EP tersebut juga dirakam di dalam Bahasa Melayu. DN juga menambah yang sejak kemunculan semulanya, beliau telah beberapa kali diundang untuk membuat persembahan di festival-festival antarabangsa seperti Rainforest World Music Festival (Santubong, Sarawak), KK International Jazz Festival dan Sabah Music Festival yang mana para pengunjungnya terdiri daripada peminat seni tempatan dan antarabangsa.  Maklumbalas yang sering diterima dari penganjur dan para peminatnya di festival-festival tersebut yang amat menggalakkan serta mengharapkan agar DN menghasilkan lagu-lagu di dalam Bahasa Inggeris.  “Membuat persembahan di hadapan penonton dari segenap pelusuk dunia seperti ini, saya pastinya berkomunikasi sepenuhnya di dalam Bahasa Inggeris dan juga menyampaikan beberapa lagu Inggeris selain lagu-lagu berbahasa Melayu dari album saya sendiri. Dari sinilah saya menerima pandangan, permintaan dan galakan yang kuat dari peminat dan rakan-rakan untuk berkarya di dalam Bahasa Inggeris pula . Harapan saya agar lagu-lagu baru saya ini mendapat tempat yang baik di hati pendengar di seluruh negara, di seluruh Asia, malahan juga di seluruh dunia”.

Bercita-cita besar untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi, DN telah melamar ‘sifu’ di dalam industri muzik negara, komposer Fauzi Marzuki bagi menjalankan sepenuhnya proses adunan muzik (mixing) dan mastering untuk EP beliau ini.  EP yang dirakamkan sepenuhnya oleh jurutera rakaman, saudara Azmel Abdul Satar dan pembantunya, Witin Gili telah dihantar kepada Fauzi Marzuki untuk diadun di Kuala Lumpur.  Azmel Abdul Satar adalah merupakan seorang jurutera rakaman yang berpengalaman luas di dalam bidang pembikinan album dan pernah merakam artis-artis bernama besar seperti Hattan, Sheila Majid dan Ramli Sarip.  Seorang lagi pensyarah muzik UMS, saudara Andrew Poninting (Apai) juga terlibat sepenuhnya dalam pembikinan EP ini sebagai penggubah muzik, programmer, penyanyi latar dan pemain alto saxophone. Para pemuzik dan artis ternama juga diundang bagi menjayakan proses rakaman album ini seperti Michael Chong yang juga merupakan pengasas sekolah muzik Michael Drums Planet dan penyanyi jazz berbangsa Ingeris yang telah menghasilkan album solonya pada 2010 yang bertajuk That’s Life saudara Rene Barrow.
 
EP yang mengandungi empat lagu ini sekali lagi mengetengahkan Rafiqa Roslee dan DN sebagai komposer dan penulis liriknya.  Lagu Not Me/Bukan Aku, merupakan ciptaan asal DN yang menggabungkan elemen-elemen dance, rock dan juga rap.  Menurut DN, lagu ini dicipta khas untuk para wanita dan gadis supaya bersifat lebih bijak, berani dan tidak dipergunakan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atau ingin mengambil kesempatan.  Ianya merupakan sebuah lagu berbentuk nasihat yang berentak agresif bagi memudahkan penerimaannya di kalangan muda-mudi. Sementara lagu Until The End of Time atau dalam versi Bahasa Melayunya bertajuk Jangan Ambil Dia, adalah merupakan sebuah lagu balada yang amat menyentuh hati, mengisahkan tentang perasaan kasih yang teragung yang seni cipta lagu dan liriknya perlu dihayati dan diselami oleh para pendengar.  Seorang penulis bebas berbangsa Inggeris, Joanna Funk telah diundang bagi menulis semula lirik-lirik asal DN ke dalam Bahasa Inggeris.  Joanna adalah merupakan seorang ‘blogger’ yang terkenal dengan blog SabahSongs dan juga merupakan seorang pemain piano yang kerap mengadakan persembahan  di restoran-restoran eksklusif.

Bagi mempromosikan EP ini, DN bakal berada di ibu negara pada 11 hingga 14 Julai dan akan muncul di  rancangan-rancangan hiburan seperti Melodi, Malaysia Hari Ini dan iTrax fm.  Beliau juga akan terlibat dengan beberapa sesi fotografi dan temubual bersama media cetak di sana.  DN juga merasa amat teruja kerana beliau telahpun mendapat undangan untuk mengadakan konsert selama dua hari berturut-turut pada 2 dan 3 September di JB Art Festival bertempat di Bukit Timbalan, Johor Bahru bersama kumpulan gamelan kontemporari yang bergelar AgungBeat.  Sehubungan dengan itu, DN juga telah telah diundang oleh pihak Johor FM (RTM Johor) sebagai artis jemputan untuk sesi temubual ‘live’ untuk program Carta Hits Johor FM.

EP Inggeris/Bahasa Malaysia DN ini telah mula berada di pasaran seluruh negara bermula 24 Jun yang lepas.  Para peminat DN juga boleh memuat turun ringtone dan callerback tone EP ini dari semua syarikat TelCo yang utama seperti Celcom, Maxis, Digi dan Umobile.  Bagi mendapatkan CD istimewa yang ditandatangani sendiri oleh DN, para peminat boleh menghubungi pihak pengurusannya melalui Twitter @dayangnoraini2, laman sesawang http://www.wix.com/dayangnoraini/dayangnoraini , 
dan Facebook, Dayang Noraini FC dan Kelab Penyokong Dayang Noraini.  Menurutnya, pihak pengurusan DN juga telah bekerjasama dengan pihak TuneCore dan kini peminatnya di luar negara dan di seluruh dunia boleh mendapatkan EP ini melalui laman sesawang yang menyediakan perkhidmatan muat turun lagu separti iTunes, Amazon MP3, Rhapsody dan sebagainya.

Jelaslah kini yang Dayang Noraini telah merancang dengan kemas serta berkarya dengan penuh ketelitian bagi EP Inggeris-Melayunya ini dan semoga wawasan dan harapan besar penyanyi cilik ini akan menjadi kenyataan dan mengangkat namanya sebaris dengan lagenda-lagenda muzik tanahair mahupun antarabangsa.

Roslee Haji Wahid
+6012 392 7473

Category: , , , , ,

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments