Kiram cabar Malaysia buktikan 52 tenteranya terbunuh
|  | 
| Ketua pengganas kumpulan Tausug Sulu | 
Idjirani berkata,  keluarganya mahu Putrajaya membenarkan wartawan luar, terutamanya dari  Filipina, untuk memasuki zon konflik di Lahad Datu, bagi mengesahkan  jumlah kematian.
“Kamu mesti benarkan media tempatan dan luar  negara ke zon konflik untuk mengesahkan jumlah kematian. Jika tidak, ia  masih boleh diperdebatkan,” katanya yang dipetik dari akhbar The  Philippine Star semalam.
Idjirani, yang bercakap bagi pihak  Sultan Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu,  mengesahkan hanya 10 dari “tentera Di Raja” Sulu terbunuh dalam serangan  dari pihak Malaysia sejak Jumaat dua minggu lalu.
Dalam siaran  ABS-CBN semalam, jurucakap Jabatan Luar Negara Filipina (DFA) Raul  Hernandez berkata kerajaan masih cuba mengesahkan jumlah kematian warga  Filipina di Sabah, dan mereka hanya bergantung dari maklumat yang  diberikan oleh Putrajaya.
Agbimuddin yang mendakwa dirinya sebagai  putera raja Sultan Sulu, mengetuai sekumpulan bersenjata berjumlah 200  orang ke Sabah, dan berada di negeri timur Malaysia itu sejak 9  Februari.
Penceroboh tersebut berhadapan dengan pasukan  keselamatan Malaysia Jumaat dua minggu lepas, selepas tiga minggu  perbincangan gagal, dan pertempuran dilaporkan menyaksikan ramai  penceroboh Sulu mati, sementara lapan anggota keselamatan Malaysia  terkorban.
Malaysia melancarkan serangan secara bersepadu pada  pagi Selasa, termasuk serangan udara yang menyaksikan bom dan artileri  berat menghujani Kampung Tanduo dimana penceroboh itu berlindung.
Pada Khamis, pihak berkuasa Malaysia mengatakan kematian penceroboh  Sulu berjumlah 52, dengan 32 orang terkorban berikutan serangan udara  pada Selasa lalu.
Tetapi Idjirani pada semalam berkata pihak  Sulu bertempur sekali sahaja, pada hari Jumaat lalu, dimana hanya  sepuluh sahaja kematian, dakwanya.
“Kami memanggilnya Pembunuhan Beramai-Ramai 1 Mac,” katanya yang dipetik dari siaran ABS-CBN News.
Memetik dari Agbimuddin, Idjirani berkata 235 tentera Sulu, setakat ini  10 kematian, 10 ditahan dan empat cedera. Agbimuddin kali terakhir  dihubungi oleh keluarganya di Filipina pada 2.30 petang semalam, menurut  laporan dari Phillipine Daily Inquirer, dan berkata beliau dan  tenteranya masih hidup dan dalam pelarian, tetapi menghadapi kelaparan.
Akhbar itu melaporkan Agbimuddin dan tenteranya berkumpul semula dan  berjaya melepasi serangan bertubi-tubi pasukan keselamatan Malaysia,  yang menuju mereka di kawasan berbukit.
“Mereka terus bergerak,  bukan dengan bot atau sebarang pengangkutan, tetapi dengan berjalan  kaki. Mereka menderita akibat kelaparan,” kata Idjirani lagi.
Sepupu Agbimuddin Jacel Kiram mengatakan serangan dari pasukan  keselamatan Malaysia sebagai “keganasan maksima”, berbanding permintaan  Manila untuk “toleransi maksima” sebelum serangan Selasa lalu.
Bagaimanapun, “puteri diraja” Sulu berkata arahan gencatan senjata dari  Sultan masih berlangsung dan tentera di Sabah dinasihatkan untuk terus  bertahan.
“Arahan kepada mereka adalah sentiasa untuk bertahan,  hanya bersedia untuk sebarang serangan. Cuma bertahan, jangan serang,”  katanya lagi.
Malaysia menolak permintaan keluarga Kiram untuk  gencatan senjata pada Khamis, sebaliknya menuntut penceroboh itu  meletakkan senjata dan menyerah tanpa syarat.- TMI
Category: jamalulail kiram 3, krisis lahad datu, malaysia, penceroboh, pengganas sulu
 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments