Pengganas Sulu: Polis Tahan 33 Suspek
POLIS SEMPORNA TAHAN 33 SUSPEK DIPERCAYAI TERLIBAT DENGAN PENGGANAS SULU
Semporna, 10 Mac - Polis menahan 33 suspek yang dipercayai terlibat secara langsung dengan pengganas Sulu dan turut disyaki menyalurkan maklumat keselamatan kepada mereka.
Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata  kesemua suspek yang ditahan di kampung pinggir bakau di sini merupakan  warga asing dan mereka dihantar ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Lahad Datu untuk soal
siasat.
"Mereka dihantar ke IPD Lahad Datu untuk soal siasat kerana ia  berkaitan dengan Op Daulat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata operasi yang bermula pada 6.30 pagi dan berakhir pada 9  pagi memfokuskan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan turut menahan empat  suspek wanita.
Katanya, kesemua suspek yang berusia 18 tahun ke  atas itu, disiasat kerana dipercayai mempunyai kaitan dan melindungi  pengganas Sulu.
Tinjauan Bernama ke lokasi operasi mendapati  kira-kira 100 anggota polis dari IPD Semporna, VAT 69 dan Pasukan  Gerakan Am melakukan pemeriksaan ke setiap rumah bagi mencari dan  mengesan suspek pengganas Sulu.
Op Daulat yang dilancar bagi  memburu saki-baki penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu masuk  hari keenam hari ini dengan 53 penceroboh militan dilaporkan ditembak  mati.
Sejak pencerobohan militan pada 12 Feb lepas, lapan  anggota polis terkorban iaitu dua maut dalam pertempuran di Kampung  Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Kampung Simunul  di sini sehari kemudian. - BERNAMA
Category: krisis lahad datu, pengganas sulu, semporna, sultan jamalul kiram, sulu
 


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments