AIM lancar Pasar Raya Sahabat Ikhtiar

Unknown | 06:59 | 0 comments

SEMPORNA: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melancarkan pasar raya pertamanya di negara ini yang dinamakan Pasar Raya Sahabat Ikhtiar (PRSI) di daerah ini untuk membantu ahlinya meningkatkan taraf sosio ekonomi.

Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Amihamzah Ahmad berkata, pihaknya akan menyasarkan lebih banyak pasar raya berkenaan di negara ini dan juga bercadang untuk membuka 123 koperasi AIMserta cawangan Ar-Rahnu, AIM.

Menurutnya, pasar raya berkonsepkan kedai serbaneka itu mendapat sokongan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu bakal merancakkan lagi sumber pendapatan Sahabat AIM.

“AIM berhasrat membuka lebih banyak pasar raya ini atas keyakinan bahawa ia mampu menjadi hab pembangunan peruncitan sahabat akan datang,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Sahabat Dan Perasmian Pasar Raya Sahabat Ikhtiar di sini, kelmarin yang dirasmikan Menteri KKLW, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, Shafie menyifatkan pembukaan pasar raya berkenaan sebagai inisiatif untuk melibatkan masyarakat luar bandar agar berkecimpung dalam aktiviti ekonomi berasaskan peruncitan.

“Inisiatif ini selari dengan cetusan idea Perdana Menteri, yang mahu masyarakat luar bandar bukan sahaja diberi kemudahan asas seperti air dan jalan tetapi turut mewujudkan peluang ekonomi sebagai punca pencarian,’’ katanya.

Jelasnya, pasar raya itu berbeza dengan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diwujudkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Pasar Raya Sahabat Ikhtiar lebih berkonsepkan koperasi dan memberi keutamaan kepada produk keluaran ahli AIM untuk dijual di pasar raya berkenaan sedangkan KR1M lebih bersifat individu,’’ katanya.

Terdahulu pada majlis itu, AIM telah memberikan bantuan sebanyakRM1.5 juta kepada sahabat AIM yang terjejas akibat insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna bagi meringankan beban mereka.

Dana itu diperoleh daripada Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) yang berjumlah RM64.6 juta iaitu tabung yang diwujudkan AIM sebagai perkhidmatan sokongan kepada sahabat yang di timpa musibah.

Sahabat yang rumah mereka musnah sama sekali dalam insiden itu diberi bantuan RM13,000 manakala sahabat yang terjejas pendapatan akibat kemusnahan projek diberi bantuan RM7,000. - NST

Category: ,

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments