Tiada kes H7N9 dikesan di Sabah

Unknown | 19:25 | 0 comments

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan bahawa tiada kes selesema burung (H7N9) dikesan di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata berdasarkan laporan yang diterima pihak kementerian, daripada lebih 1,000 pelancong dari China yang tiba ke Sabah dan menjalani saringan, semuanya bebas virus itu.

Oleh itu beliau meminta orang ramai supaya tidak bimbang kerana pihak kementerian sentiasa menjalin kerjasama erat dengan jabatan berkenaan untuk memantau perkara ini.

“Kita sentiasa membuat pemantauan bukan sahaja terhadap pelancong tetapi juga ternakan yang dibawa masuk ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama media di Ming Garden Hotel, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun Rosnah berkata, pihak jabatan berkenaan sentiasa dan terus menjalankan pemantauan dan saringan terhadap pelancong yang tiba di lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu bagi memastikan negeri ini bebas virus selesema burung yang kini melanda negara China.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sedia maklum mengenai masalah yang berlaku terutama sekali berkenaan selesema burung yang melanda China dan telah pun mengambil langkah-langkah untuk menanganinya termasuk mengadakan pemantauan di semua pintu masuk negara sama ada melalui udara atau laut.

“Sistem pemantauan dilaksanakan bukan sahaja di lapangan terbang yang melibatkan penerbangan dari negara China sama ada melalui penerbangan terus atau penerbangan transit ke Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu tetapi juga melalui laut.

“Ini telah menjadi keutamaan kepada pasukan yang ditugaskan di setiap pintu masuk negara kita,” katanya.

Mengenai jumlah pelancong dari China yang telah menjalani saringan Rosnah berkata, setakat ini ia telah melebihi 1,000 orang. - NST

Category: ,

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments