Anak Sabah mencipta jenis pen pertama di dunia
KOTA KINABALU: Mengajar di sebuah sekolah di pedalaman negeri ini tidak  menyekat kreativiti seorang guru yang berjaya mencipta pen untuk  menyelesaikan masalah berkaitan elektromagnet dalam subjek Fizik. 
Androd Sadian, guru sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek,  Kota Marudu, berkata dengan pen ciptaannya yang dikenali Pen Android  atau Pen A, pelajar tidak perlu lagi menggunakan jari tangan untuk  menentukan arah yang tepat seperti kaedah pembelajaran sekarang.
"Sekurang-kurangnya Pen A ini menjamin pelajar memperoleh dua atau tiga  markah dalam peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan  Malam Solidariti dan Apresiasi Pendidik sempena sambutan Hari Guru  peringkat negeri, di sini, malam tadi.
Menurut Androd, pen itu juga boleh digunakan sebagai alat tulis biasa. 
 Pen ini sudah mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran dan akan  dipasarkan di Sabah bermula bulan depan pada harga RM7.50 seunit,  sebelum diedar ke seluruh negara secara berperingkat, katanya yang  percaya Pen A adalah yang pertama seumpamanya di dunia.
Pen ini sudah mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran dan akan  dipasarkan di Sabah bermula bulan depan pada harga RM7.50 seunit,  sebelum diedar ke seluruh negara secara berperingkat, katanya yang  percaya Pen A adalah yang pertama seumpamanya di dunia. Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar  negeri Datuk Masidi Manjun yang juga EXCO Pelajaran Sabah, berkata  kejayaan Androd adalah bukti kegigihan guru di kawasan pedalaman dalam  mencari kreativiti bagi menangani kekangan bertugas di kawasan  terpencil. 
"...mereka berupaya mencari kaedah kreatif dalam meningkatkan  semangat mereka untuk terus bersaing dalam pembangunan pendidikan,"  katanya.
Terdahulu, Masidi dalam ucapannya berkata tema Hari Guru tahun ini  iaitu 'Guru Malaysia: 1 Aspirasi 1 Agenda' amat bersesuaian dalam  menempuh era globalisasi yang berteraskan enam aspirasi murid iaitu  berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran  dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional. 
Pada majlis itu, Masidi turut melancarkan pen itu serta sebuah buku  bertajuk Sejarah Perkembangan Pendidikan Di Sabah (1881-1981) yang  ditulis oleh pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Dayu  Sansalu.
Menurut Dayu, buku setebal 300 halaman itu menerangkan sejarah pendidikan di Sabah sejak 1,000 tahun lalu. - BERNAMA                                   
Category: androd sadian, berita sabah
 


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments