MH370 masih berfungsi selepas hilang daripada radar - Pakar

Unknown | 15:11 | 0 comments

Pesawat masih berfungsi jika hantar isyarat 'ping' - Pakar

KUALA LUMPUR 15 Mac - Penghantaran beberapa siri isyarat 'ping' oleh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 menunjukkan kapal terbang berkenaan masih berfungsi selepas hilang daripada radar.

Pengarah Pusat Komunikasi Wayarles, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Tharek Abd. Rahman berkata, 'ping' adalah satu paket isyarat yang dihantar oleh komunikasi pesawat kepada penyedia perkhidmatan satelit seperti Inmarsat untuk memberitahu bahawa pesawat masih berfungsi semasa paket tersebut dihantar.

Katanya, jika satelit membalas isyarat 'ping' tersebut, perkara itu menunjukkan penyambungan data masih berfungsi.

"Sebagai contoh sebuah komputer dalam rangkaian akan menghantar isyarat 'ping' dari semasa ke semasa kepada server untuk memberitahu bahawa komputer tersebut aktif.

"Oleh itu pada pandangan saya, jika satelit tersebut menerima ping daripada MH370, perkembangan itu menunjukkan pesawat berkenaan masih berfungsi pada masa tersebut.

"Mungkin perkara ini boleh menerangkan laporan yang mengatakan beberapa jam selepas hilang perhubungan dengan pusat kawalan, pesawat MH370 dikatakan menghantar isyarat 'ping' daripada sistem," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu dilaporkan menghantar isyarat 'ping' kepada sebuah satelit selama empat jam, sebaik kapal terbang berkenaan hilang daripada radar.

Mengulas lanjut, Tharek memberitahu, perkataan 'ping' berasal daripada istilah sistem rangkaian komputer.

Katanya, isyarat 'ping' dihantar dari sebuah komputer (sumber) ke komputer lain (destinasi) untuk menguji sambungan talian rangkaian antara sumber dan destinasi.

Katanya, sekiranya isyarat 'ping' berjaya diterima, 'destinasi' akan memberi maklum balas kepada 'sumber' bahawa sambungan antara kedua-duanya telah sedia untuk menjalin komunikasi satu sama lain.

Dalam konteks penerbangan, ujar beliau, sistem penyelengaraan yang berada di atas kapal terbang akan menghantar isyarat 'ping' secara berkala kepada satelit untuk menguji sambungan rangkaian antara sistem penyelengaraan dan satelit.

"Jika sambungan talian berjaya, satelit akan memberi maklum balas kepada sistem penyelengaraan di atas kapal terbang," katanya.

Category: , , , , ,

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments