Dapat wang ihsan, beli arak, rumah hangus
SESI minum arak yang meriah pada sebelah petang bertukar tragedi hitam apabila kebakaran yang tercetus dari salah sebuah bilik di Rumah Akai Anggat, Ulu Merusa, Suai, meranapkan seluruh rumah panjang tersebut dan mengorbankan nyawa seorang lelaki kurang upaya (OKU).
Dalam kejadian pada jam 11 malam kelmarin, kesemua 35 pintu rumah panjang itu ranap dijilat api menyebabkan hampir 300 penghuninya tinggal sehelai sepinggang.
Manakala mayat mangsa yang dikenali sebagai Kenedit Ali, 40, ditemui di bawah rumah di bahagian anjung hadapan rumah panjang yang bertiang tinggi itu dengan kesan kecederaan yang parah pada bahagian kepalanya akibat terhempas pada simen selepas terjatuh.
Menurut abang sulung mangsa, Suyong Ali, 60, kebakaran mula disedari oleh ibunya, Ringgan Anja, 80, yang terhidu bau asap.
Sebaik mendapati biliknya terbakar, Ringgan membangunkan anaknya, Kenedit yang tidur di bilik sama lalu berusaha menyelamatkan anaknya yang kurang upaya itu dengan mengheretnya ke tempat lebih selamat.
Namun, kudrat si ibu yang berusia 80 tahun itu tidak terdaya untuk mendukung anaknya ke tempat lebih jauh sebaliknya hingga ke anjung (atau dikenali sebagai ‘tanju’) hadapan rumah panjang.
Mangsa kemudian menjatuhkan dirinya ke bawah rumah sebagai usaha menyelamatkan diri, namun malang apabila dia terjatuh pada bahagian kepalanya dahulu menyebabkan kepalanya terhempas pada simen di bawah rumah dan meninggal dunia di situ.
“Ketika kebakaran berlaku, saya bermalam di pondok huma kami dan tidak tahu apa yang berlaku serta tidak terdaya menyelamatkan mereka,” kata Suyong sambil menambah beliau juga tidaktinggal bersama ibu dan adiknya, tetapi bersama keluarganya sendiri di bilik lain rumah panjang itu.
Api yang marak dengan pantas juga menyebabkan penghuni rumah panik dan tidak sempat menyelamatkan harta benda.
Menurut sumber, sebelum tragedi mangsa dan penghuni rumah panjang terbabit menyertai penduduk lain di kawasan Suai menerima bantuan banjir berjumlah RM500 di Dewan Masyarakat Sepupok, Niah pada sebelah pagi.
Selepas mendapat wang bantuan tersebut, beberapa penghuni rumah panjang dan mangsa menggunakan wang bantuan tersebut untuk membeli minuman keras dan mereka kemudiannya berkumpul di bilik mangsa untuk sesi minum arak sepanjang malam itu hingga mabuk.
Selain minum, mereka turut memanggang makanan di belakang dapur bilik mangsa.
Menurut Suyong, api yang marak dari bilik ibunya itu disyaki berpunca daripada api yang digunakan oleh mangsa dan rakan-rakannya memanggang makanan ketika mereka minum yang terlupa dipadamkan kerana masing-masing sudah mabuk.
Rumah panjang tersebut yang terletak di kawasan Suai sejauh 254 kilometer dari sini dan 80 kilometer dari Bintulu menyebabkan pasukan bomba dari Balai Bomba Miri hanya tiba di tempat kejadian sekitar jam 1 pagi selepas menerima panggilan kecemasan.
Pasukan Bomba Sukarela Batu Niah turut menghulurkan bantuan dengan kekuatan lima anggota sambil dibantu oleh beberapa anggota polis dari Balai Polis Batu Niah.
Dalam satu lagi kebakaran di Kuala Baram, jeritan jiran yang berteriak ‘Api!’, ‘Api!’ menyelamatkan seorang lelaki daripada rentung ketika api yang marak membakar rumahnya ketika dia sedang tidur pada jam 2.30 pagi semalam.
Mangsa, Noah Bilong Wahid memberitahu dia bersendirian dan sedang tidur di tingkat atas rumahnya apabila api mulai membakar rumah kayu dua tingkat miliknya di Kampung Muhibbah, Kuala Baram, awal pagi semalam.
Menurut mangsa lagi, sebaik terdengar jeritan jirannya, dia ternampak asap tebal dan api sedang membakar kediamannya.
Beliau yang tersentak dengan kejadian tersebut, kemudiannya berlari ke arah tingkap dan terjun dari tingkat dua itu untuk menyelamatkan diri kerana api sudah marak membakar bahagian bawah rumahnya.
Sumber : http://www.theborneopost.com/2014/04/25/dapat-wang-ihsan-beli-arak-rumah-hangus/#ixzz2zt2sSD23
Category: berita sarawak, mabuk rumah terbakar, semasa
0 comments