Ros bintang baru bakal bersinar

Unknown | 23:39 | 0 comments


INDUSTRI seni di negeri ini terutamanya dalam bidang nyanyian akan terus berkembang maju memandangkan banyak bakat-bakat yang boleh diketengahkan sehingga ke persada muzik tanahair. Umpamanya di Sandakan dalam diam-diam bandar mendapat jolokan sebagai 'Mini Hongkong' itu melahirkan ramai penyanyi berbakat maka masanya sudah tiba bagi penggiat seni memberikan perhatian penuh terhadap perkembangan baik ini.

Ini kerana, tidak ramai penyanyi dari daerah ini yang telah menempah nama dan kalau ada pun boleh dikira dengan jari termasuklah mereka yang berjaya memasuki program-program rancangan realiti TV.

Ramai yang tidak mengetahui begitu banyak bakat-bakat baru boleh diketengahkan tetapi sayangnya penampilan mereka ini hanya dapat dilihat menerusi pertandingan nyanyian untuk peringkat daerah mahu pun di majlis perkahwinan dan sebagainya.

Persoalan pokok di sini ialah masyarakat Sandakan mahu melihat penyanyi tempatan mereka berjaya dengan memiliki album sendiri seperti juga penyanyi-penyanyi lain yang sudah menempah nama masing-masing.

Tidak kiralah, album berbentuk single sekali pun tetapi yang penting mereka mampu mencipta nama sekali gus tidak mempersia-siakan bakat menyanyi yang digilap semenjak dari kecil lagi.

Kelmarin, Hiburan New Sabah Times sempat berbual panjang dengan seorang penyanyi yang memiliki suara gemersik siapa lagi kalau bukan Rosmiah Amat merupakan anak kelahiran Sandakan yang berasal dari Kinabatangan.

Rosmiah, 28, atau lebih mesra dengan panggilan Ros ini sependapat sudah tiba masanya penggiat seni terutama golongan komposer mengintai bakat-bakat yang ada dari daerah tersebut.

"Kita ada ramai penyanyi yang berbakat besar. Seperti Ros, Ros tidak akan mempersiakan bakat menyanyi malahan bertekad dan berazam untuk memastikan kerjaya Ros ini terus berjaya suatu hari nanti.

"Inilah masanya untuk Ros membuktikan bahawa keputusan menceburi bidang nyanyian bukan main-main sebaliknya diiringi kesungguhan untuk berjaya seperti juga orang lain," kata penyanyi yang memiliki wajah cantik dan putih melepak ini.

Ros adalah berbintang Leo dan berbangsa Dusun Sungai merupakan seorang lagi bakat baru tempatan yang lahir untuk turut sama mewarnai dunia seni tanahair.

Minat menyanyi sejak kecil mendorong Ros menyertai banyak pertandingan nyanyian di sekitar Negeri Sabah.

Pernah menjuarai pertandingan irama Malaysia peringkat Sabah pada tahun 2008 dan juga merupakan finalis Bintang Sandakan FM pada tahun 2007.

Mempertaruhkan lagu yang akan muncul dalam single pertama beliau berjudul 'Walau Dalam Mimpi' itu, Ros berharap peminat akan dapat menerima album single sulung ini seadanya.

Beliau berdoa album single yang pada ketika ini sedang dalam proses pembikinan akan siap mengikut jadual bagi membolehkan peminat mendapatkannya di pasaran.

Ramai mengakui dengan bakat yang ada pada Ros kerana dikatakan penyanyi ini boleh menyanyi dengan begitu baik sekali dalam pelbagai bahasa seperti English, Cina dan Mexico.

Tidak hairanlah sebuah hotel bertaraf lima bintang di bandar Sandakan telah menawarkannya untuk menyanyi pada hujung minggu ekoran caranya mempersembahkan nyanyian mampu menghiburkan sesiapa saja.

"Itulah, Ros akan mempertimbangkan tawaran yang diberikan oleh hotel ini kerana kesibukan bekerja selain latihan menyanyi di studio. Saya sekarang pun kena pandai membahagi-bahagikan masa mana lagi memikirkan album single yang bakal diterbitkan tidak lama lagi," ujarnya.

Ros yang telah dinobatkan sebagai Naib Johan Sugandoi Kaamatan pada tahun 2009 itu bertekad tidak akan menoleh ke belakang lagi malahan memberi komitmen penuh bagi mencapai cita-citanya menjadi seorang penyanyi berjaya sebagaimana harapan keluarga selama ini. - Sumber: New Sabah Times

Category: , ,

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments