Gerakan Penceroboh Militan Lumpuh, Azzumudie Dipercayai Melarikan Diri Ke Filipina
KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Pihak berkuasa keselamatan negara  yakin telah melumpuhkan kumpulan penceroboh pengganas Sulu di Lahad  Datu, Sabah, dengan ketua kumpulan itu dipercayai melarikan diri ke  Filipina.
Gerakan ofensif pasukan keselamatan negara terhadap kawasan kubu  pengganas di Kampung Tanduo sejak 11 hari lepas menyebabkan ketua  kumpulan penceroboh itu, Azzumudie Kiram, yang turut dikenali sebagai  Agbimuddin Kiram, meninggalkan pengikutnya di Lahad Datu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan  Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, di Kota  Kinabalu, Sabah, Jumaat malam.
Semalam seramai 11 lagi individu ditahan dalam operasi memburu dan  mengesan penceroboh yang kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil  di beberapa kampung berdekatan dengan Kampung Tanduo.
Seramai lapan lelaki rakyat asing berusia 17 dan 29 tahun yang menaiki  bot laju dari Filipina ditahan pada 12.15 malam ketika memasuki Sungai  Bilis, Lahad Datu dan dua lagi lelaki rakyat asing yang dipercayai tali  barut militan itu ditahan dalam operasi di Semporna.
Dalam tangkapan di Sungai Bilis, polis turut menemui wang tunai peso  berjumlah PHP369,000 (RM28,375) dan satu tong kosong, kata Pesuruhjaya  Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Sehingga petang ini, pasukan keselamatan menahan 97 orang mengikut Akta  Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan 233 orang lagi  ditahan kerana memasuki zon larangan Operasi Daulat.
Seramai 61 musuh pula ditembak mati dan 27 daripada mayat penceroboh  militan itu dibawa keluar dari kawasan operasi untuk bedah siasat.
"Kami percaya terdapat 10 lagi mayat pengganas belum dibawa keluar dari  Kampung Tanjung Batu," katanya yang turut mengesahkan bahawa pasukan  keselamatan menemui tiga kubur dan 15 mayat di Kampung Tanduo.
Malaysia memberi tempoh tiga hari untuk Filipina menuntut mayat  rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat itu dan jika tiada jawapan  dalam tempoh itu, kesemua mayat berkenaan akan dikebumi mengikut cara  yang sesuai.
Malaysia juga tidak bersendirian dalam menyelesaikan krisis di pantai  timur Sabah itu apabila mendapat kerjasama erat dari Filipina.
Komitmen dan pendirian Filipina jelas apabila tentera laut Filipina  menahan 35 pengganas Sulu yang cuba keluar dari Sabah dan kesemua mereka  akan dihadapkan di mahkamah negara itu.
Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan  militan dari Sulu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan  kumpulan yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu sejak 12 Feb lepas  gagal.
Dua hari lepas, Panglima Angkatan Tentera mengumumkan penambahan aset  ketenteraan dalam usaha menggempur habis-habisan bagi menamatkan krisis  pencerobohan militan Sulu itu.
Dalam tempoh pencerobohan itu, seramai 10 anggota pasukan keselamatan  terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua anggota tentera, manakala  sembilan anggota pasukan keselamatan cedera.
-- BERNAMA 
Category: Azzumudie, krisis lahad datu
 


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments