Malaysia Beri Tempoh Tiga Hari Untuk Filipina Tuntut Mayat Pengganas
LAHAD DATU, 15 Mac (Bernama) -- Malaysia memberi tempoh tiga hari untuk   Filipina menuntut mayat rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat di  sini setelah mereka menceroboh negara 12 Feb lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata tempoh itu yang  mengikut konvensyen Geneva diberi melalui satu surat rasmi kepada  Manila.
Surat berkenaan dikeluarkan setelah mayat penceroboh militan itu selesai dibedah siasat.
"Jika tidak respons dalam tempoh tiga hari, kami akan kebumikan  mengikut cara yang sesuai, kalau orang Islam ikut cara Islam," katanya  pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat  Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas operasi Felda Sahabat 16,  dekat sini Jumaat.
Hamza berkata seramai 61 pengganas militan ditembak mati dalam Operasi  Daulat yang masuk hari ke-11, dan sehingga 5 petang ini 27 daripada  mayat itu telah dibawa keluar dari kawasan operasi.
"Kami percaya terdapat 10 lagi mayat pengganas belum dibawa keluar dari  Kampung Tanjung Batu," katanya yang turut mengesahkan bahawa pasukan  keselamatan menemui tiga kubur dan 15 mayat di Kampung Tanduo.
-- BERNAMA   
Category: filipina, krisis lahad datu, mayat pengganas
 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments