MAYAT WILLIAM DITEMUI DALAM KEADAAN TERLENTANG, KEPALA SEPARUH TENGGELAM

Unknown | 06:41 | 0 comments

Petaling Jaya, 13 Mei - Mahkamah Koroner hari ini diberitahu mayat William Yau Zhen Zhong ditemui dalam keadaan terlentang dengan kepala separuh tenggelam di tepi sebuah bot nelayan di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, Januari lepas.

Penyelia Pasar Nelayan, Kampung Sungai Sireh Tambahan Dua, Pelabuhan Klang, Satarudin Kamal, 45, memberitahu keadaan fizikal badan kanak-kanak lelaki itu juga sudah mula membengkak dan mereput dengan kedua-dua belah matanya tiada.

"Kedua-dua belah matanya hilang mungkin telah dimakan ikan," katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt yang membantu Koroner Mohd Hezri Shaharil dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian William.

Mayat William, 6, ditemui 24 Jan lepas di Jeti Kampung Sungai Sireh selepas dilaporkan hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya setelah dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Satarudin yang juga nelayan di jeti itu memberitahu mahkamah bahawa sejurus ternampak mayat seorang kanak-kanak terapung dibawa arus surut berhampiran jeti tersebut, dia bersama rakannya berusaha menarik keluar mayat berkenaan. 

"Kami menggunakan tali bagi mengikat kaki mayat kanak-kanak itu supaya ia tidak dihanyutkan arus dan menariknya menggunakan sampan kecil untuk dibawa ke jeti utama," katanya.

Saksi ke-14 itu berkata pada ketika itu dia bersama rakan-rakannya sedang minum petang di warung berhampiran jeti berkenaan sebelum melihat satu mayat terapung dibawa arus surut pada jarak 50 meter, pada kira-kira 6.30 petang, 24 Jan lepas.

Ketika ditanya Lee, sama ada terdapat sesiapa yang menyentuh mayat itu selepas ia ditarik ketepi, Satarudin menjawab tidak sehingga polis datang.

Sementara itu, pekerja bapa William, Lim Say Kim, 27, memberitahu mahkamah, dia mengenali keluarga Yau Kok Kang, 33, lebih kurang lima tahun dan bekerja di bengkel membaiki motosikal milik Yau sejak tiga tahun lepas.

Lim berkata sepanjang mengenali keluarga Yau, dia melihat hubungan Yau dengan isterinya, Goh Ying Ying, 26, sangat baik.

"Sepanjang saya kenal Yau, saya tidak pernah nampak dia bertengkar dengan isterinya kerana saya hanya jumpa mereka pada waktu bekerja," kata saksi ke-13 itu.

Ketika ditanya Koroner Mohd Hezri sama ada Yau mempunyai masalah dengan pelanggan, Lim menafikan hal itu sambil memaklumkan kedai majikannya juga tidak pernah diserang atau diganggu individu tidak dikenali. 

Inkues bersambung Rabu.

BERNAMA

Category:

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments