Sabah catat peratusan tinggi pengambilan alkohol: NHMS

Unknown | 07:59 | 0 comments

KOTA KINABALU: Sabah merupakan negeri ketiga mencatatkan peratusan kadar pengambilan alkohol tertinggi dikalangan penduduk khususnya mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Ketua Penolong Pengarah Unit NCD (Penyakit Tidak Berjangkit) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Nirmal Kaur berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 menunjukkan Sabah mencatatkan 18.4 peratus kadar pengambilan alkohol.

Katanya, kadar pengambilan alkohol tertinggi pula ialah Kuala Lumpur iaitu 20.3 peratus dengan diikuti Sarawak sebanyak 19.7 peratus.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada para peniaga supaya tidak menjual alkohol kepada golongan remaja terutamanya yang berumur 18 tahun ke bawah.

“Ini kerana minuman alkohol tidak baik untuk kesihatan. Walaupun penjualan alkohol belum ada akta seperti rokok namun kita berharap semua peniaga lebih bertanggungjawab dengan tidak menjualnya kepada golongan remaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada seminar perkongsian dan strategi untuk menangani masalah berkaitan alkohol, di Zara’s Boutiqe Hotel, Harbour City, di sini, kelmarin.

Dr. Nirmal berkata, mengikuti kajian Jabatan Kesihatan Negeri pada Ogos 2011/Jun 2012 di empat lokasi di Sabah mendapati mereka yang berumur 20 hingga 60 tahun paling tinggi mengambil alkohol iaitu 95 peratus.

“Manakala lima peratus daripadanya adalah remaja bawah umur iaitu berusia 14 tahun,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian itu, didapati kaum lelaki lebih tinggi terlibat dalam pengambilan alkohol iaitu 60 peratus berbanding wanita (40 peratus).

Katanya lagi, selepas kajian itu, pihak jabatan telah memperkenalkan program intervensi di kampung-kampung untuk memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat mengenai bahaya ketagihan alkohol.

“Ini adalah program pertama kita selepas kajian itu. Program ini penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya ketagihan alkohol dan kesannya terhadap kesihatan.

“Pada tahun ini kita mulakan program kesedaran dan intervensi dalam komuniti di empat buah kampung iaitu Bundu Tuhan Ranau, Tinangol Kudat, Melalap Tenom dan Kipovo Penampang.

“Kita mahu perkasakan masyarakat kampung supaya mengambil bahagian dalam program ini seterusnya sama-sama membantu mengurangkan pengambilan alkohol,” katanya.

Dr. Nirmal berkata, bagi memantapkan pengetahuan semua wakil penduduk kampung supaya dapat menyampaikan ceramah kesedaran di kampung masing-masing, kursus pertama telah diadakan pada Februari lalu dan program kedua ini dengan kerjasama Mercy Malaysia.

“Kita juga akan menilai pencapaian program ini pada hujung tahun ini seterusnya memperluaskannya ke lebih banyak kampung di negeri ini,” katanya.

Katanya, pengambilan alkohol secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan termasuk penyakit tidak berjangkit seperti serangan sakit jantung, kencing manis, strok, kanser dan juga kerosakan hati.

Sementara itu Pakar Perubatan Keluarga Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Mohd Nazri Mohd Daud ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Kemudaratan Alkohol” berkata, kemudaratan alkohol tidak hanya terhadap organ badan sahaja tetapi juga boleh menjejaskan anak dalam kandungan (ibu), mabuk, kemalangan dan hilang tumpuan kepada pendidikan dan pekerjaan.

“Bahaya alkohol bagi individu ialah memudaratkan kesihatan, gangguan mental, bunuh diri dan penyakit kronik seperti kanser tekak dan mulut, strok dan kegagalan fungsi hati.

“Selain itu alkohol juga boleh menyebabkan seseorang itu berkelakuan ganas, tidak rasional, mudah marah, sedih, resah, selalu demam, kurang daya tahan terhadap jangkitan kuman dan berisiko terhadap jangkitan pneunomonia, sakit urat saraf dan ulser,” katanya.

Dari segi kesannya terhadap keluarga pula ialah boleh menyebabkan kecacatan fizikal dan mental anak, penderaan, keganasan rumah tangga dan pembaziran wang.

Dr. Mohd Nazri berkata, alkohol turut memberikan kemudaratan kepada masyarakat iaitu kemalangan jalan raya, pergaduhan, rogol dan pembunuhan.

Sehubungan itu beliau menyeru masyarakat supaya mengurangkan pengambilan alkohol.

Category: ,

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments