UNDI DUA KALI, BUKTI KUKUH PENIPUAN SPR?
Saudara Pengarang,
SAYA Mohd Fadhli bin Khaharruddin, membuat laporan mengenai daftar undi  yang membolehkan saya mengundi sebanyak dua kali di pusat mengundi SK  Sungai Isap, Saluran 4, Kuantan, Pahang.
Berikut isi kandungan Laporan polis yang saya buat;
"Saya mendaftar undi pertama saya pada pukul 10.30 pagi dan undi kedua  pada pukul 1.15 petang. Sewaktu undi kedua saya tidak membuang undi  tetapi berhasrat menyimpan kertas undi dan no saluran sebagai bukti  bahawa prosedur dan kredibiliti SPR yang lemah, seperti dakwat yang  tidak kekal dan kebolehan mendaftar dua kali, tetapi tidak dibenarkan  oleh KTM pusat saluran 4. Repot ini dibuat untuk mengelak daripada  didakwa mempermainkan sistem pilihanraya. Sekian."

Isi  kandungan Laporan Polis di atas sudah cukup ringkas menceritakan apa  yang berlaku. Di sini saya ingin menjelaskan secara teliti untuk  menempis tohmahan buah mulut khabar angin liar.
Selesai  mengundi buat kali pertama, saya pulang ke rumah dengan niat untuk makan  tengahari, saya basuh tangan menggunakan sabun mandi (jenama tidak  pasti) dan saya dapati dakwat kekal luntur di jari telunjuk tangan kiri  kesannya berpindah ke tangan kanan dalam keadaan comot.
Saya  cuba menggunakan peluntur (Depex) yang terdapat di tandas untuk  hilangkan saki baki comot pada kedua-dua belah tangan. Terbukti, jari  kiri saya bersih tanpa ada kesan dakwat kekal.
Saya mencari  penyelesaian di internet dan media sosial menjumpai banyak lagi kes sama  berlaku di serata Malaysia. Hal ini membawa kemusykilan kerana isu  dakwat ini telah dibincang sejak 2008 hingga 2013 dan badan Suruhanjaya  Pilihanraya Malaysia (SPR) secara jelas mendakwa dakwat kekal dapat  bertahan 5-7 hari; walaupun dibasuh menggunakan medium berbeza.
Saya mengambil keputusan tanpa apa-apa perancangan untuk cuba mengundi  buat kali kedua pada pukul 1.15 petang. Barisan daftar undi tidak  seramai seperti pagi.
Saya beratur pada pusat mengundi yang  sama, saluran yang sama seperti pada pengundian pertama waktu pagi.  Semasa dipanggil untuk daftar undi oleh kerani pengundian, saya ikut  prosedur sama; tunjukkan kad pengenalan, jari dicalit dakwat kekal dan  penerimaan kertas undi.
Saya berjaya melepasi prosedur yang  sama tanpa sebarang masalah! Saya tidak membuang undi, tetapi membawa  kertas undi 2 helai dan nombor saluran keluar dan melaporkan kepada  polis petugas apa yang berlaku dan menyatakan hasrat untuk membuat  laporan polis.

Polis itu meminta dan memegang kad pengenalan dan merujuk kepada pegawai atasan beliau mengenai apa yang berlaku. Ada ramai anggota polis (5-6 orang) di sekeliling saya dan mereka ingin tahu dan ada yang tidak percaya. Ada yang meminta saya bersumpah dan tidak percaya ini berlaku.
Anggota polis menanyakan soalan "Kenapa kamu mengundi dua kali?"
Saya balas, "Kenapa saya boleh undi dua kali? Saya tidak perlu bagi  jawapan, Encik kena tanya pegawai SPR yang bertugas". Tiada kata  penyelesaian.
Ketua Tempat Mengundi (KTM) Saluran 4 dipanggil  untuk memberi jawapan, tetapi jawapan yang diberi "Ini tidak patut  terjadi", "Kemungkinan pengundi terlalu ramai" dan menerangkan prosedur  dan pengulangan jawapan sama beberapa kali.
Perbincangan  berterusan dan masih tiada kata putus. Calon-calon yang bertanding cuba  masuk campur dan mereka meminta bukti saya mengundi dua kali dan saya  menunjukkan kertas undi yang masih bersih tidak bertanda sebagai bukti  untuk laporan polis.
Tetapi, Ketua Tempat Mengundi tidak  membenarkan saya bawa keluar kertas undi tersebut. Saya cuba untuk  dapatkan kertas undi itu sebagai bukti untuk mengelak didakwa  mempermainkan pilihanraya.
Masih tidak membenarkan, saya  meminta orang ramai yang ada disitu untuk mengambil gambar saya, kad  pengenalan, kertas undi 2 helai dan kertas nombor saluran sebagai bukti  sebelum menyerahkan kertas-kertas undi dan nombor saluran kepada KTM.  Tiada kata putus dari mana-mana pihak, saya meminta kebenaran untuk  membuat laporan polis.
Pulang ke rumah, saya bersiap dan mandi  kerana ada sedikit kesan dakwat kekal di muka dan sekali lagi  menggunakan medium yang sama, dakwat itu luntur dengan mudah.
Abang saya menelefon dan meminta saya pergi ke rumah salah seorang calon  untuk mendapatkan butiran peribadi bagi mengelak dari apa-apa kejadian  buruk berlaku.
Sesudah itu, saya menaiki skuter ke Balai Polis  Kuantan berseorangan membuat laporan. Selesai menaip laporan sendiri,  saya diminta tunggu sebentar dan menaiki van polis kembali ke SK Sungai  Isap untuk siasatan dan kembali semula ke Balai Polis Kuantan untuk  catitan penyataan saya mengenai laporan yang dibuat.
Proses  menunggu agak lama kerana perlu menunggu Forensik dan jurugambar untuk  mendapatkan bukti. Semua selesai lebih kurang pukul 8 malam dan saya  dikehendaki ke Balai Polis 13 Mei 2013 ini untuk tindakan selanjutnya.
Hasil siasatan mendapati tempat mengundi menggunakan dua buku daftar  pengundi yang sama dan ditanda oleh dua kerani pengundian yang berbeza  untuk "melancarkan proses mengundi".
Dakwat yang didakwa kekal  5-7 hari, tidak kekal dan ini disahkan olen kerani pengundian SPR dimana  mereka sendiri tidak dapat menjumpai sisa atau kesan dakwat kekal pada  kedua-dua tangan saya yang membolehkan saya mengundi buat kali kedua.
Penjelasan; "Saya membuat laporan, BUKAN ditangkap!" Sila baca banyak kali jika tidak faham.
Saya faham hak saya sebagai pengundi. Saya sedia maklum jika saya  ditangkap untuk undi kali kedua, saya boleh dijatuhi hukuman bayar  RM5,000 atau 2 tahun penjara.
Saya non partisan, tegas saya di  sini. Saya tidak dibayar, bukan ahli dan tidak menuduh mana-mana parti.  Saya tidak berniat untuk mencabar SPR, tapi ingin menguji sistem yang  dikatakan 'bersih' dan terbaik di dunia.
Saya salah seorang  rakyat Malaysia yang ingin tahu mengenai dakwaan-dakwaan yang menyatakan  kegagalan SPR sebagai sebuah sistem pilihanraya yang telus dan saya  sendiri berjaya buktikan.
Jika kes saya adalah 'kesilapan',  saya ingin tahu, berapa banyak 'kesilapan' yang sama berlaku di  tempat-tempat mengundi yang lain? Berapa ramai yang membuat laporan dan  berapa ramai yang berjaya bolos?
Adakah SPR badan paling bersih di dunia seperti didakwa pengerusinya? Jawapan saya, tidak.
Anda pula bagaimana?
Salam Hormat,
MOHD FADHLI BIN KHAHARRUDDIN
Sumber
Category: politik
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments