Tragedi Hari April Fool

Unknown | 00:15 | 0 comments

Seorang penuntut universiti di China dijatuhi hukuman mati selepas didapati membunuh rakan sebiliknya yang meminum air yang telah dibubuh racun oleh tertuduh.

Di sebalik perbuatan tidak berperikemanusiaan itu, Lin Senhao, 27, mendakwa kematian Huang Yang, yang sebaya dengannya adalah akibat gurauan Hari April Fool yang berakhir dengan tragedi.

Bagaimanapun, hakim yang bersidang di Mahkamah Rakyat Pertengahan Nombor Dua Shanghai pada bulan lalu memutuskan perbuatan tersebut adalah berniat jahat dan Senhao memang mempunyai niat membunuh rakan sebiliknya itu.

Yang minum air yang dimasukkan racun daripada mesin minuman itu di sebuah universiti berprestij di Shanghai pada 1 April 2013. Yang menemui ajal 16 hari kemudian akibat kegagalan hati, buah pinggang dan paru-paru

Bedah siasat yang dijalankan menunjukkan bahawa mangsa telah diracun dengan bahan kimia bertoksik, N-Nitrosodimethylamine (NDMA), yang diambil oleh Senhao dari makmal sebuah hospital di Shanghai iaitu tempat dia menjalani latihan praktikal.

Dalam perbicaraan pada November tahun lalu, Senhao mengaku dia membubuh racun di dalam mesin air minuman itu tetapi menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk membunuh Yang.

The Global Times melaporkan bahawa pihak pendakwaan menolak hujah Senhao yang mendakwa dia benar-benar tahu tentang bahan kimia yang dibubuh di dalam air itu memandangkan dia pernah menggunakannya sewaktu menjalankan uji kaji di makmal haiwan.

"Defendan, Lin Senhao mempunyai niat menyebabkan kematian dengan racun disebabkan perkara remeh-temeh. Cara yang dilakukan sangat tidak berhati perut, kemudaratan yang dilakukan kepada masyarakat adalah sangat besar dan perbuatan jenayahnya sangat serius,’’ menurut satu kenyataan mahkamah.

Pihak pendakwaan menyatakan, Senhao dengan sengaja membunuh Yang disebabkan dendamnya berhubung ‘hal seharian yang remeh-temeh’.

Yang sebelum itu selalu menggambarkan Senhao sebagai seorang yang ‘kedekut’ dan pernah sekali mengkritik perangai buruk teman sebilik mereka terhadap Senhao, yang menyebabkan pembunuh April Fool itu naik darah.

Peguam Senhao pula menyangkal sebarang niat dengan mendakwa ‘perkara remeh-temeh harian’ tidak cukup untuk anak guamnya melakukan pembunuhan itu dan dia seharusnya menggunakan bahan kimia yang lain sekiranya mempunyai niat untuk membunuh ekoran daripada bau NDMA yang kuat.

Senhao mendakwa dia melakukan gurauan tersebut selepas Yang memaklumkan tentang rancangannya untuk menipu seseorang pada Hari April Fool, tetapi dia (Senhao) hanya mahu menyebabkan ketidakselesaan terhadap Yang.

Bagaimanapun, pemahaman Senhao terhadap NDMA adalah cukup meluas memandangkan dia telah menerbitkan beberapa artikel dengan gambar rajah uji kaji menggunakan bahan kimia itu di jurnal akademik kebangsaan.

Bagi mencipta dos pembunuh, Senhao membubuh sekurang-kurangnya 30 gram iaitu 10 kali ganda jumlah bahan kimia yang boleh membawa maut seorang lelaki dewasa seperti saiz Yang, ke dalam mesin air minuman pada 31 Mac 2013 pada kira-kira pukul 5.50 petang.

NDMA kebiasaannya digunakan untuk penyelidikan dan menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (AS), pendedahan bahan itu kepada manusia boleh menyebabkan kerosakan pada hati dan menjejaskan darah.

Selepas minum air yang bertoksik pada Hari April Fool, Yang telah dimasukkan ke hospital keesokan harinya dan pada hari berikutnya telah dipindahkan ke unit rawatan rapi akibat kegagalan hati, platelet darah yang turun mendadak dan demam.

Selepas ditangkap, Senhao akhirnya mengaku melakukannya apabila pihak polis menemukan bahan kimia itu di dalam mesin air minuman tersebut.

Polis juga mendapati Senhao telah mencari maklumat melalui komputer ribanya mengenai kes-kes pembunuhan melibatkan ubat-ubatan dari 1 hingga 4 April tahun lalu.

Category: ,

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments