Usaha Mentransformasi Masyarakat Luar Bandar Sabah Menerusi Mesej

Unknown | 10:12 | 0 comments

KENINGAU (Sabah) (Bernama) -- Meskipun jarak rumah Petrus Yuyah, 43, dengan rumah Sait Jaafar, 50, terletak kira-kira 250 km antara satu sama lain, namun mereka berkongsi impian yang sama.

"Kehidupan yang selesa untuk keluarga." Itulah impian mereka dan ia menjadi kenyataan hasil usaha murni kerajaan menerusi dasar mentransformasi sosio-ekonomi masyarakat luar bandar Sabah.

Petrus tinggal di kawasan penempatan moden di Bunang, Keningau di pedalaman Sabah.

Sait pula tinggal nun jauh di Pulau Sebatik, Tawau yang terletak di pantai timur negeri itu.

Kedua-dua rakyat negeri di bawah bayu itu mungkin tidak berpeluang untuk saling kenal mengenali tetapi yang pasti mereka adalah antara insan bertuah yang dipilih menyertai projek Sejahtera Estet Mini (MESEJ).

Projek MESEJ di Bunang dan Pulau Sebatik adalah antara beberapa program pembasmian kemiskinan berimpak tinggi yang diperkenalkan kerajaan bertujuan meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat di kawasan luar bandar.

Peserta program MESEJ ini dipilih dalam kalangan fakir miskin yang berdaftar dengan e-Kasih, bank data kemiskinan negara.

MERAPATKAN JURANG BANDAR-DESA

Projek MESEJ diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, bertujuan meningkatkan pendapatan golongan fakir miskin supaya lebih lestari di samping merapatkan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar di Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh baru-baru ini menyatakan, ketika ini terdapat 44 projek MESEJ di seluruh Sabah.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 29 adalah projek pertanian (kelapa sawit dan getah) sementara bakinya, projek akuakultur dan ekonomi mikro.

Projek pertanian MESEJ ditadbirkan oleh Akaun Amanah, yang ditubuhkan kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS).

Setiap estet perladangan menampung purata 33 peserta atau ketua isi rumah.

Kerajaan negeri menerusi KPLBS melantik Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB) sebagai agensi pelaksana memajukan tanah untuk ladang kelapa sawit di bawah program MESEJ.

Setakat ini, sebanyak 17 projek MESEJ dilaksanakan di Sabah dengan purata 98 hektar setiap estet.

Di bawah program yang sama, Lembaga Perindustrian Getah Sabah (SRIB) yang juga agensi kerajaan negeri melaksanakan pembangunan pertanian untuk ladang getah di kawasan luar bandar.

TRANSFORMASI KEHIDUPAN MENERUSI MESEJ

Pihak berkuasa seperti Lembaga Pembangunan Perumahan Sabah (LPPB), majlis perbandaran dan daerah menyediakan infrastruktur asas untuk projek MESEJ.

Penulis berkesempatan mengunjungi Sait di projek MESEJ di Sungai Laba, Pulau Sebatik, kira-kira 20 minit perjalanan menaiki bot dari bandar Tawau.

Beliau tersenyum lebar menerima kedatangan penulis dan bangga menunjukkan rumah konkrit tiga bilik yang didiami bersama keluarganya.

Rumah itu mempunyai bekalan air, elektrik dan dilengkapi dengan kipas siling. Beliau juga mempunyai peti televisyen 13 inci, peti ais dan sebuah komputer.

"Alhamdulillah, kehidupan saya banyak berubah selepas saya menyertai projek MESEJ di Sungai Laba.

"Sebelum ini saya tinggal dengan nenek saya di rumah kecil lagi usang di kampung lain di pulau ini juga. Saya tak boleh bayangkan bagaimana masa hadapan saya sekiranya tidak dipilih untuk program ini.

BERSYUKUR DIPILIH

"Sudah tentu saya gembira dan bersyukur. Terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan saya peluang menjadi peserta projek MESEJ ini," kata Sait.

Peserta yang bekerja di projek MESEJ memperoleh pendapatan sekitar RM800 sebulan.

Pendapatan estet akan disalur kepada Akaun Amanah dan KPLBS akan membuat keputusan berapa akan diberikan kepada peserta projek.

Kira-kira 250 km dari Kg Laba ialah Kampung Bunang, Keningau. Kampung ini yang terletak di daerah pedalaman Sabah ialah penempatan untuk mereka yang dikategorikan sebagai fakir miskin seperti Sait.

Persekitaran projek MESEJ di Bunang begitu menarik sekali dengan deretan rumah konkrit yang baru siap dibina di atas bukit. Jalan raya turut dibina menghubungkan skim penempatan ini.

KEHIDUPAN BARU

Petrus Yuyah ialah antara 33 peserta projek MESEJ Bunang yang mula mendiami penempatan itu bermula pada tahun 2010.

Seperti Sait, beliau disenaraikan di dalam e-Kasih dan dipilih sebagai peserta MESEJ selepas menghadiri temu duga dan taklimat khas tentang program itu.

"Sebelum saya menyertai program (MESEJ) ini, saya membuat kerja kecil-kecilan dengan pendapatan tak seberapa. Sekarang saya memperoleh RM800 sebulan", kata Petrus yang berasal dari Kg Meninipir, Sook, di daerah Keningau.

Sementara itu, Pengerusi SLDB, Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, agensi itu akan terus menyokong program sosio-ekonomi kerajaan terutamanya untuk pembasmian kemiskinan seperti projek MESEJ dan agropolitan.

"Berdasarkan kemahiran kami dalam perladangan kelapa sawit, SLDB berada pada kedudukan kukuh untuk menentukan kejayaan pembangunan pertanian yang diamanahkan kerajaan untuk kami laksanakan," beliau memberitahu Bernama.

Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rahmat Bivi Yusof berkata MESEJ adalah antara projek pembasmian kemiskinan yang menyumbang kepada pengurangan kemiskinan di Sabah.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan hasil awal Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) untuk Sabah.

Kajian itu antaranya menunjukkan kadar kemiskinan di Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada tahun 2009 kepada 8.1 peratus pada 2012.


-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1031332

Category: , ,

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments