Imigresen akan buka 24 kaunter di CIQ Tawau

Unknown | 16:38 | 0 comments


TAWAU: Jabatan Imigresen akan membuka 24 kaunter perkhidmatan di Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau pada tahun hadapan iaitu sebaik sahaja kerja-kerja penaikan taraf pusat itu selesai dilaksanakan.

Pengarah Imigresen Sabah, Mohammad Mentek berkata, langkah itu bertujuan untuk melancarkan lagi operasi keluar masuk penumpang di pusat itu, yang bergerak di antara Tawau dan Nunukan serta Tarakan, Indonesia.

“Ketika ini kita hanya membuka 10 kaunter di pusat CIQ Tawau dan penambahan 14 lagi kaunter ini juga adalah selari dengan hasrat kita untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan Jabatan Imigresen,” katanya.

Jelasnya, 12 daripada kaunter itu nanti adalah untuk ‘ketibaan’ dan selebihnya adalah untuk ‘keberangkatan’.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas mengetuai Rombongan Kumpulan Kerja Teknikal JKKK/KK Sosek Malindo meninjau pelaksanaan operasi pihak Imigrasi di Sungai Nyamuk dan Nunukan, Indonesia.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya sering mendengar rungutan tentang kesesakan di Pusat CIQ Tawau, tetapi menjelaskan perkara itu adalah disebabkan oleh pergerakan feri-feri yang tiba tanpa mengikut jadual.

“Kesesakan ini bukanlah disebabkan oleh kekurangan kaunter kita. Tetapi ketika ini terdapat sembilan feri yang bergerak di antara Tawau dan Nunukan dan jumlah purata penumpang ialah kira-kira 1,500 orang sehari.”

“Kadang-kadang 3 atau 4 feri tiba serentak dan ini menyebabkan kesesakan berlaku. Apapun kita sudah menyuarakan perkara ini kepada pihak di Indonesia dan meminta supaya feri-feri ini mengikut jadual,” katanya.

Beliau turut memberitahu, pihaknya juga bersedia membuka perkhidmatan kaunternya di Pusat CIQ pada hujung minggu, asalkan terdapat permintaan terhadap perkara itu.

Mengulas kunjungan yang diadakan pula, beliau berkata, pelbagai perkara dibincangkan di antara pihaknya dan pihak berkuasa di Indonesia, termasuklah usaha-usaha untuk mempertingkatkan kerjasama kedua-dua pihak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Abdul Muis Picho yang menyertai kunjungan itu berkata, beliau juga menyuarakan supaya laluan feri di antara Tawau dan Nunukan diubah ke arah belakang Pulau Sebatik.

Perkara itu katanya adalah bertujuan untuk memastikan hakisan pantai tidak berlaku di Pulau Sebatik, yang dilihat sekaligus boleh menjejaskan mata pencarian nelayan tradisi di kawasan berkenaan.

Turut serta ialah Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Sabah Datuk Ibrahim Saad, Pegawai Khas Adun Sebatik, Suryansah Kassau dan pegawai dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kastam, Jabatan Laut Sabah dan Konsult Indonesia di Tawau.

Ketibaan rombongan itu di Sungai Nyamuk disambut oleh Ketua Pos Imigrasi Sungai Nyamuk, Dwi Kustanto manakala di Nunukan pula, mereka disambut oleh Ketua Imigrasi Nunukan, Andi Roja SH.

Category: , , ,

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments