Anak mantan PM Pakistan diculik

Unknown | 15:37 | 0 comments

Multan (Pakistan): Sekumpulan lelaki bersenjata semalam menculik seorang anak lelaki bekas Perdana Menteri Pakistan ketika dia berkempen pada hari terakhir sebelum berlangsungnya pilihan raya lusa.

Bagaimanapun, Taliban - yang memulaukan pilihan raya itu kerana mendakwa ia tidak Islamik - menafikan mereka bertanggungjawab menculik Ali Haider Gilani.

Polis pula berkata, setiausaha Ali maut dibunuh dan seorang daripada pengawalnya adalah antara lima yang cedera dalam serangan itu.

Jurucakap polis, Khurram Shakur berkata, penyerang datang menaiki sebuah motosikal serta kereta sebelum melepaskan tembakan.

“Ali diculik dan dilarikan menaiki sebuah kereta Honda berwarna hitam,” katanya.

Ali adalah anak kepada Yousuf Raza Gilani - seorang tokoh dianggap paling berpengaruh di kawasan tengah bandar Multan.

Yousuf juga menjadi tokoh penting kepada Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang giat berkempen untuk mendapatkan mandat sekali lagi daripada rakyat bagi memerintah negara berkenaan. Dalam pilihan raya lusa ini, Ali bertanding untuk dewan perundangan peringkat wilayah mewakili PPP, manakala dua lagi saudara kandungnya mencuba nasib untuk kerusi peringkat Pusat. Yousuf tidak layak bertanding selepas dipecat daripada jawatannya tahun lalu apabila Mahkamah Agung mendapati dia bersalah membuka semula kes rasuah yang membabitkan dirinya. 

PPP mengetuai kerajaan selama lima tahun lalu tetapi mempunyai kelemahan dalam berkempen serta masalah pengerusinya, Bilawal Bhutto Zardari yang terlalu muda untuk bertanding menjejaskan peluang mereka.

Sementara itu, pemimpin Taliban, Hakimullah Mehsud mengarahkan pengikutnya melakukan serangan berani mati pada hari pengundian. Seorang pemimpin kanan Taliban berkata, Hakimullah menghantar beberapa pengebom berani mati ke beberapa lokasi di seluruh Pakistan. - AFP

Category:

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments